Total Pageviews

Saturday, March 12, 2011

Legenda Langkawi : Hikayat Sumpahan Mahsuri 2

Halaman 2


::ZAMAN PERAWAN MAHSURI::


Ilustrasi Potret Mahsuri


   Apabila Mahsuri meningkat umurnya, rupanya sangat cantik dan ramai orang datang ke rumahnya dan membawa hadiah. Sebagai seorang gadis yang telah besar panjang rupa parasnya bertambah-tambah cantik dan dia pandai pula melayan tetamu-tetamu yang datang serta bertimbang rasa terhadap orang-orang yang miskin. Pada masa itu tidak ada perempuan yang boleh menandingi kecantikannya di seluruh Pulau Langkawi itu.

   Pada masa tersebut Langkawi telah diperintah oleh seorang orang pembesar yang dianugerahi oleh Sultan dengan gelaran Dato' Seri Kerma Jaya dan nama isterinya Mahura. Apabila Dato' itu mendengar cerita tentang Mahsuri dan peri kecantikannya serta budi bahasanya itu beliau pun pergi ke Mawat (nama kampung Mahsuri) dengan niat hendak melihat sendiri bagaimanakah rupa Mahsuri yang menjadi buah mulut ramai ketika itu.

   Apabila Dato' itu sampai di rumah Pandak Mayah didapatinya Pandak Mayah dan isterinya tidak ada di rumah. Yang ada cumalah Mahsuri seorang. Dia pun membuka pintu dan memberitahu Dato' itu bahawa ibu dan bapanya tak ada di rumah dan akan balik senja kelak. Dato' itu mengatakan bahawa dia tak dapat menanti dan akan datang sekali lagi pada suatu hari kelak.

   Dato' itu telah tertarik oleh budi bahasa dan kecantikan Mahsuri dan dengan serta-merta timbullah di dalam hatinya bahawa dia ingin hendak mengambil gadis itu untuk menjadi isterinya. Apabila dinyatakannya hasrat hatinya kepada isterinya maka terjadilah satu perkelahian yang begitu sengit sehingga terpaksa Dato' itu membatalkan cita-citanya hendak mengahwini Mahsuri.

   Dato' Seri Kerma Jaya miliki seorang anak bernama Mat Derus dan setelah berbaik-baik semula dengan isterinya Dato' itu telah berpakat dengan isterinya hendak meminang Mahsuri untuk anaknya itu dan isterinya itu pun bersetuju. Pandak Mayah serta isterinya telah menerima kedatangan orang-orang pihak Dato' itu mengikut adat istiadatnya dan mereka pun bersetujulah atas peminangan itu. Tidak berapa lama kemudian majlis perkahwinan pun diadakan dengan secara besar-besaran dan hampir-hampir semua penduduk Pulau Langkawi telah dijemput hadir ke majlis yang meriah itu.

   Selepas perkahwinan itu sepasang suami isteri pun tinggal bersama-sama dalam aman sentosa dan rukun damai. Bulan berganti bulan, maka Mahsuri pun hamil. Suaminya Mat Deris telah pergi ke Siam kerana urusan perniagaan dan sebagai seorang pedagang lama juga dia tidak pulang ke rumah.

   Dalam masa Mat Derus tidak ada maka datanglah seorang pengembara Melayu muda lagi miskin ke Langkawi. Namanya Deramang. Orang ini dilahirkan di Melaka. Dia mengembara ke seluruh Semenanjung termasuklah Pulau Pinang dan Perlis. Dari Perlis dia menyeberang ke Langkawi kerana hendak tinggal beberapa hari.

   Deramang mempunyai suara yang sangat merdu, dan sangat pandai berpantun serta membaca cerita dalam bentuk prosa. Pada suatu hari dia datang singgah untuk berehat sebntar di rumah Mahsuri. Mahsuri kasihan melihatkan keadaan pengembara miskin ini lalu mempelawa dia tinggal di rumahnya beberapa hari dengan izin ibu bapanya. Deramang menerima pelawaan itu serta mengucapkan terima kasih kepadanya.



   Sebagai seorang celik huruf, Deramang gemar dan ahli membaca hikayat dan syair. Pandak Mayah selalu meminta Deramang membacakan hikayat dan syair pada waktu malam di rumahnya. Pada setiap malam Deramang akan bersyair dan bercerita. Orang-orang yang tinggal berdekatan di situ datang ke rumah Mahsuri mendengar syair dan cerita Deramang.
Acara ini telah menjadikan rumah Pandak Mayah sebagai tempat tumpuan ramai. Mahsuri juga seorang peminat setia Deramang.

   Beberapa bulan kemudian Mahsuri pun melahirkan anaknya yang pertama seorang lelaki, dan telah diberi nama Mat Arus. Disebabkan usianya yang baru lahir maka tidak banyak yang diceritakan tentang anak lelaki Mahsuri ini.

   Oleh sebab baik budi dan ramah mesra Deramang dan Mahsuri, lebih ramai orang datang ke rumah Mahsuri dan sedikit sahaja datang ke rumah Dato' Seri Kerma Jaya. Kemahsyuran  Mahsuri semakin melonjak kerana namanya  sentiasa meniti di bibir mulut setiap orang.

   Mahura isteri Dato' Kerma Jaya berasa cemburu dan iri hati kepada Mahsuri kerana namanya terkenal. Dia sentiasa terkenangkan niat suaminya tempoh hari hendak memperisterikan Mahsuri yang mana hal tersebut telah menimbulkan perselisihan di antara dia, dengan suaminya itu maka dia pun mengambil keputusan untuk membuat fitnah terhadap Mahsuri.


                                        1  2  3                              Sambungan >>


No comments:

Post a Comment