Total Pageviews

Saturday, March 12, 2011

Legenda Langkawi : Hikayat Sumpahan Mahsuri 3

Halaman 3               *KLIK SINI UNTUK KE HALAMAN 1          
                                     bagi yang belum baca dari awal


::TRAGEDI MAHSURI::

   Pada suatu malam yang gelap Mahura meminta izin daripada suaminya Dato' Kerma Jaya hendak pergi ke rumah Mahsuri dengan alasan hendak mendengar Deramang bersyair dan bercerita. Dato' telah mengizinkan dia pergi. Dia pun berpura-pura pergi ke rumah Mahsuri. Beberapa ketika kemudian, sebelum sampai ke rumah Mahsuri, Mahura berlari balik ke rumahnya dengan termengah-mengah serta menangis-nangis  memberitahu suaminya bahawa dia telah melihat Mahsuri dan Deramang sedang bercumbu-cumbuan dan Deramang memakai sebentuk cincin yang diberi kepadanya oleh Mahsuri.

   Benar Deramang ada memakai cincin. Cincin itu dihadiahkan kepadanya oleh Mahsuri dengan izin bapanya kerana menghargai jasa-jasa Deramang dalam menghiburkan hatinya dengan bersyair dan bercerita dalam masa suaminya meninggalkan rumah begitu lama. Tetapi Mahsuri hanya menggap Deramang seperti abang kandungnya sendiri kerana Deramang amat prihatin akan Mahsuri.



   Apabila mendengarkan cerita Mahura isterinya itu maka timbullah radang Dato' Seri Kerma Jaya dan serta-merta pada keesokan paginya dia terus mengerah orang-orangnya untuk menangkap Mahsuri.  Malang sekali tanpa usul periksa dan menyiasat dengan lebih lanjut, malah perbicaraan juga tidak dijalankan namun Dato' Kerma Jaya terus menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Mahsuri dan Deramang.

   Orang-orang Dato' Kerma jaya itu pun pergilah ke rumah Mahsuri di Mawat (kampungnya) dan mereka dapati dia tidak ada di rumah. Dia telah pergi ke suatu tempat yang tidak jauh dari rumahnya sambil mendodoikan anaknya di dalam buaian di bawah sepohon kayu. Orang-orang itu telah pergi ke tempat itu lalu berjumpa dengannya. Dia diberitahu bahawa mereka telah diperintahkan oleh Dato' untuk menangkap dan membunuh dia kerana kelakuan sumbangnya bersama Deramang. Dia terus dibawa ke suatu tempat bernama Padang Hangus dan di sanalah hukuman itu hendak dijalankan.



   Mahsuri berasa hairan kerana pada malam itu Deramang tiada di rumah keluar mengambil angin. Tetapi orang-orang Dato' Kerma Jaya tetap berkeras untuk membawa dia ke sana atas perintah Dato' sendiri. Mahsuri yang seakan masih belum mengerti mengapa dia dituduh sedemekian, sambil menegaskan dan merayu bahawa dia tidak bersalah. Tetapi segala rayuannya itu sia-sia belaka. 

   Bapanya Pandak Mayah yang sedang berada di dalam rumahnya mendapat khabar mala petaka yang menimpa anaknya itu. Dia pun bergegas membawa tujuh buah kereta lembu yang penuh berisi wang untuk menebus anaknya dengan harapan anaknya akan dikembalikan semula namun semua usaha itu turut gagal.

   Perkhabaran berkenaan dengan hukuman yang akan dijatuhkan ke atas Mahsuri itu telah merebak dengan pantas ke seluruh kampung di dalam Mukim itu dan ramai orang telah membantah perintah tersebut. Tetapi apa pun tidak dapat memujuk hati Dato' itu mengubah keputusannya. Ini disebabkan betapa kuatnya pengaruh Mahura ke atas suaminya itu.

   Beratus-ratus orang telah berhimpun di Padang Hangus hendak menyaksikan pelaksanaan hukuman bunuh itu. Di saat- saat genting itu, ada satu permintaan Mahsuri yang terakhir iaitu hendak menatap wajah anaknya buat kali yang terakhir tetapi Dato' Kerma Jaya tidak membenarkannya.


  Mahsuri telah diikat pada sebatang pokok asam jawa. Dua bilah lembing tajam telah digunakan. Apabila lembing ditikam ke tubuh Mahsuri yang lemah itu pada kedua-dua belah bahagian lembut bahunya, mata lembing yang tajam itu tidak dapat menembusi kulit atau dagingnya. Pada ketika itu, Mahsuri amat terseksa kerana menahan sakit lembing yang ditikam walaupun tidak lut. SeIepas segala percubaan yang gagal itu, Mahsuri memberitahu mereka bahawa jika sekiranya mereka betul-betul hendak menjalankan hukuman membunuh terhadap dia, dia mempunyai sebilah lembing kepunyaannya sendiri di rumahnya dan senjata itulah sahaja yang boleh membunuh akan dia. Lembing tersebut dipercayai sebagai 'Lembing Sakti'

   Maka perintah pun dikeluarkan untuk pergi mengambil lembing yang disimpan oleh Mahsuri. Ramai yang memohon dan merayu supaya Mahsuri dilepaskan tetapi Dato' Kerma Jaya tetap dengan keputusannya itu disebabkan termakan hasutan mahura isterinya sendiri. Apabila ditikam lembing itu ke tubuh badannya maka sekalian rakyat jelata di situ melihat darah putih memancut-mancut ke atas lalu terbentuk seperti payung di atas kepalanya. Peristiwa ini membuktikan bahawa dia adalah seorang wanita yang suci dari dosa.

   Sebelum Mahsuri menghembuskan nafasnya yang terakhir dia sempat bersumpah dengan suara yang lembut dan jelas bahawa disebabkan perbuatan mereka yang zalim ini,  Pulau Langkawi tidak akan makmur dan tidak akan menikmati keamanan ibarat 'Padang jarang padang terkukur' selama tujuh keturunan yang akan datang. Deramang juga akhirnya dibunuh walaupun pada mulanya dia melawan.


   Beberapa tahun kemudian Langkawi telah diserang oleh Siam. Ramai rakyat yang telah ditawan dan dibinasakan oleh tentera-tentera Siam. Kesemua ahli keluarga Dato' Kerma Jaya telah dibunuh oleh tentera yang menyerang itu. Sebilangan besar daripada penduduk pulau itu telah ditawan dan dibawa ke Siam.


   Sebagai ikhtiar yang akhir sebelum tentera Dato' yang bertahan itu mengundurkan diri, mereka telah menggunakan taktik menjahanamkan harta benda iaitu dengan membakar padi beras rakyat dan bekalan-bekalan tentera. Sehingga kini masih menjadi peninggalan sejarah mengenai kawasan kampung dan beras-beras yang dibakar itu. Kampung itu juga masih wujud sampai sekarang yang dinamakan sebagai Kampung Beras Terbakar.

   Dato' Kerma Jaya melarikan diri bersama bersama orang kuatnya, Panglima Hitam. Malangnya, Dato' Kerma Jaya ditangkap oleh tentera Siam di Sungai Langkanah dan diseksa serta dibunuh dengan kejam. Begitu juga dengan Mahura yang dirogol dan diseksa tentera Siam. Anak mereka, Muhamad Ali bergegas pulang dari Pulau Pinang untuk membalas dendam. Kejayaannya mendorong sultan melantiknya sebagai pengganti ayahnya. 

   Walau bagaimanapun, pulau Langkawi tidak pernah makmur kerana kegiatan lanun dan jenayah berleluasa. Malah keadaan di pelau Langkawi ketika itu betul-betul seperti padang jarak padang terkukur. Ini kerana apa sahaja tanaman yang diusahakan tidak akan menjadi kerana tanah menjadi rosak dan tidak subur. Semuanya berpunca dari kekurangan sumber bekalan air. Panasnya yang terik membuatkan banyak tanaman-tanaman dan haiwan-haiwan ternakan mati begitu sahaja.

Replika makam Mahsuri yang dibina sempena mengingati sejarah hidupnya



   Sebelum 1980-an, Langkawi memang tidak makmur hinggakan orang mengatakan yang kerbau lebih banyak berbanding manusia di sana. Sewaktu Tunku Abdul Rahman masih menjadi pegawai daerah, Tunku sentiasa melawat Langkawi tetapi tiada siapa yang tahu di mana Mahsuri dikebumikan. Maka, Tunku mencari sehingga menemui sebuah kubur yang tersembunyi lalu dibinakan sebuah makam, yang dikenali sebagai Makam Mahsuri.

   Namun menjelang 1980-an, Langkawi menjadi lebih makmur dan mengalami sedikit perubahan ketika itu. Dipercayai itu disebabkan lahirnya keturunan ketujuh Mahsuri sekali gus menamatkan segala sumpahan Mahsuri ke atas pulau Langkawi. 


Wan Aishah bt Wan Nawawi

Keturunan ketujuh Mahsuri iaitu Sirintra Yayee atau Nong May atau nama Melayunya, Wan Aishah binti Wan Nawawi menetap di pulau Phuket, Thailand ketika pertama kali dijejaki.



                                                1  2  3                              



4 comments: